Muka melecur redah api selamatkan barang

Muka melecur redah api selamatkan barang

Labuan: Tindakan berani seorang wanita cuba masuk ke dalam rumahnya di Kampung Batu Arang, di sini, yang sedang terbakar menyebabkan kecederaan akibat terkena bahang api.

Dalam kejadian jam 11.10 pagi tadi, mangsa berusia 30 tahun terbabit dikatakan kecederaan 10 peratus melecur di bahagian muka.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 11.18 pagi.

Pasukan bomba sedang memadam kebakaran dalam kejadian di Kampung Batu Arang, Labuan.

Katanya, berdasarkan laporan itu, sepasukan 16 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Labuan dan BBP Kampung Jawa dikerah ke lokasi kejadian untuk operasi pemadaman.

“Sebaik tiba, kebakaran membabitkan empat rumah jenis separuh kekal dan tidak kekal serta membabitkan seramai 48 mangsa.

“Operasi pemadaman segera dijalankan sebelum api berjaya dikawal pada jam 11.47 pagi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, hanya sebuah rumah gagal diselamatkan sepenuhnya manakala tiga lagi hanya terbakar sekitar empat hingga 10 peratus.

Katanya, dalam kejadian itu, kemalangan hanya membabitkan seorang wanita berusia 30 tahun yang melecur di muka selepas cuba masuk untuk mengambil barang di dalam rumahnya.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca dan jumlah kerugian dalam insiden kebakaran ini,” katanya.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|