Tawau: Seorang lelaki warga emas ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) selepas didapati membawa barangan kawalan tanpa permit di perairan daerah ini, semalam.
Lelaki berusia 75 tahun terbabit yang pada awalnya dikesan menaiki sebuah bot yang sarat dengan muatan terus ditahan untuk pemeriksaan.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Tawau, Deputi Superintendan Ridzauddin Selamat berkata, hasil pemeriksaan, pasukan rondaan menemui menjumpai beberapa barang kawalan di dalam bot berkenaan.
Bagaimanapun katanya, juragan terbabit gagal mengemukakan sebarang surat dan permit kebenaran daripada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
“Juragan bersama bot dan barang kawalan kemudiannya di bawa ke Markas Operasi PPM Tawau untuk tindakan selanjutnya.
“Kes akan dirujuk kepada KPDNHEP cawangan Tawau dan kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.
Ridzauddin berkata, semua rampasan yang berjaya dilakukan itu dianggarkan bernilai RM24,240 berdasarkan harga pasaran semasa.
Sehubungan itu, Ridzauddin berkata, PPM menggalakkan masyarakat pesisir pantai dan maritim khususnya untuk menyalurkan sebarang maklumat melalui aplikasi whatsApp Pasukan Polis Marin Wilayah Empat Sabah di talian 013-9391197.
Katanya, masyarakat juga boleh berhubung terus ke Bilik Gerakan PPM Tawau di talian 089-983268 bagi memastikan kesalahan-kesalahan yang melanggari undang-undang negara dapat dibendung seterusnya mengekalkan keamanan dan keselamatan.
-Deasoka