KPDNHEP rampas 5,567 pakaian sukan tiruan berjenama bernilai RM223,880

KPDNHEP rampas 5,567 pakaian sukan tiruan berjenama bernilai RM223,880

Kota Kinabalu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah menyita 5,567 helai pakaian sukan pelbagai jenama terkenal yang disyaki tiruan.

Semua pakaian sukan yang dianggarkan bernilai RM223,880 itu dirampas dalam serbuan di sebuah premis perniagaan di Keningau, semalam.

Pengarah KPDNHEP Sabah, Georgie Abas berkata, tindakan serbuan dan rampasan dijalankan mengikut Akta Cap Dagangan 2019.
 
Katanya, operasi adalah hasil maklumat yang diterima daripada Randall Gateskill Risk Consultancy Sdn Bhd yang bertindak sebagai wakil kepada pemilik cap dagang berdaftar untuk jenama Adidas, Nike dan Puma.

“Operasi dijalankan membabitkan seramai 10 orang anggota dan pegawai penguat kuasa KPDNHEP Sabah.

“Ia juga disertai wakil pemilik cap dagangan barangan berkenaan yang terlibat di dalam menyalurkan maklumat dan serbuan yang dijalankan,” katanya dalam kenyataan media dikeluarkan, hari ini.

Georgie berkata, pemilik premis perniagaan disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Cap Dagangan 2019 dan kes ini akan disiasat mengikut seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019 kerana mempunyai barang-barang dengan cap dagangan yang dipakaikan dengan salah.

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi pertubuhan perbadanan boleh didenda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barangan,” katanya.

Sehubungan itu, Georgie berkata, kementerian ini akan terus menguatkuasakan undang-undang mengikut Akta Cap Dagangan 2019.

Katanya, ia bagi membanteras penjualan barangan tiruan dan aktiviti cetak rompak di pasaran.
 
“Peniaga adalah diingatkan supaya lebih bertanggungjawab serta menghormati harta intelek orang lain di samping sentiasa berusaha membuat semakan status kesahihan dan ketulenan barangan yang dibekalkan.

“Pengguna juga dinasihati supaya tidak menyokong jualan barangan tiruan di pasaran yang belum tentu terjamin dari segi kualiti dan keselamatannya,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|