Klinik swasta cetus kluster baharu di Ranau

Klinik swasta cetus kluster baharu di Ranau

Kota Kinabalu: Satu kluster baharu melibatkan jangkitan bermula di sebuah klinik swasta sebelum mengakibatkan penularan di kalangan pelanggan di kesan di Pekan Ranau, hari ini.

Jurucakap Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kluster tempat kerja dikenali sebagai Kluster Pekan Ranau-Ranau itu dipercayai berlaku apabila dua kakitangan klinik berkenaan disahkan positif pada 10 Julai lalu.

“Ia sekaligus menyebabkan kedua-dua mereka menjadi kes indeks dalam kluster ini.

“Saringan terhadap 246 kontak seterusnya mendapati 13 lagi kes terbitan masing-masing enam kes pada 13 Julai, dua kes pada 14 Julai dan lima kes pada 15 Julai lalu.

“Ianya menjadikan jumlah kumulatif kes positif bagi kluster ini sebanyak 15 kes termasuk lima kes baharu hari ini manakala tujuh lagi menunggu keputusan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan media Covid-19 hariannya pada hari ini.

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah berkata, jumlah kes positif baharu Covid-19 pada hari ini adalah sebanyak 326 kes.

“Tiga kes kematian dilaporkan pada hari ini iaitu masing-masing satu kes di daerah Kota Kinabalu, Kalabakan dan Semporna.

“Takziah diucapkan kepada keluarga yang terlibat,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|