Keahlian Peter, Juil dalam WARISAN terbatal – Loretto

Keahlian Peter, Juil dalam WARISAN terbatal – Loretto

Kota Kinabalu: Keahlian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap dan Limbahau dalam Parti Warisan Sabah (WARISAN) terbatal secara automatik susulan pengumuman keluar parti kedua-dua mereka, hari ini.

Perkara itu disahkan Setiausaha Agung WARISAN, Datuk Loretto S Padua ketika dihubungi mengenai kedudukan ADUN Melalap, Datuk Peter Anthony dan ADUN Limbahau, Datuk Juil Nuatim, sebentar tadi.

Loretto berkata, setakat ini, WARISAN tidak menerima surat peletakan jawatan kedua-dua ADUN terbabit, namun kedudukan mereka sebagai ahli WARISAN terbatal sejurus mengumumkan keluar parti

“Mengikut perlembagaan parti, kalau mereka sudah umumkan keluar, secara automatik keahlian mereka terbatal dan tidak perlu menghantar surat maklumkan parti,” katanya.

Loretto berkata, sebarang tindakan terhadap kedua-dua ADUN terbabit akan dibincangkan di peringkat tertinggi parti dan akan diumumkan kepada media dalam masa terdekat.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada perkara itu sudah dimaklumkan kepada Presiden, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Loretto berkata, beliau tidak tahu namun ia perlu dirujuk terus kepada kedua-dua mereka.

“Itu kena tanya Datuk Peter atau Juil kalau mereka ada berhubung dengan Datuk Presiden,” katanya.

Peter yang juga Naib Presiden WARISAN bersama Juil mengumumkan keluar parti pada sidang media khas di perkarangan Balai Ketibaan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) tengah hari tadi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|