Gabungan Persatuan Belia Bahagian Pedalaman hulur sumbangan

Gabungan Persatuan Belia Bahagian Pedalaman hulur sumbangan

Beaufort: Prihatin dengan nasib penduduk yang terjejas ketika pandemik Covid-19, Gabungan Persatuan Belia Bahagian Pedalaman Bawah Sabah tampil menyampaikan bakul makanan dan pelbagai keperluan lain.

Bantuan berkenaan disampaikan menerusi Program Outreach Komuniti di bahagian pedalaman bawah Sabah.

Pengerusinya, Mazlan @ Joehari Manan berkata, program berkenaan dilaksanakan di empat daerah di kawasan pedalaman bawah iaitu membabitkan daerah Beaufort, Sipitang, Membakut dan Kuala Penyu.

Katanya, program itu bertujuan untuk mengeratkan hubungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) gabungan persatuan belia bersama agensi kerajaan serta meningkatkan nilai aktiviti kesukarelawan di kalangan belia bersama komuniti.

“Hari ini, kami menyampaikan sebanyak 100 bakul makanan, 400 kit yang sudah divaksin, 500 bendera tangan, 500 sanitizer, masing-masing sebanyak 100 kotak pelitup separuh muka, apron dan pelindung muka selain 1,500 biji roti bun dari Kim Teck Cheong Berhad.

“Penyerahan bakul makanan diberikan kepada golongan yang memerlukan seperti ibu tunggal dan golongan orang kurang upaya (OKU) serta keluarga yang terjejas pendapatan akibat Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas penyerahan bakul makanan kepada penduduk di Kampung Batandok Lubak, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pegawai Kewangan Persekutuan Sabah, Perbendaharaan Malaysia Sabah (PMS), Siti Norhaini Osli dan
Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Beaufort, Tseu Nyuk Yin.

Sementara itu, seorang warga emas, Daineh Ojeh, 69, berterima kasih dengan sumbangan bakul makanan yang disampaikan Gabungan Persatuan Belia Bahagian Pedalaman Bawah Sabah.

Katanya, bantuan yang diberikan itu sangat membantu penduduk yang terjejas berikutan kesukaran untuk keluar mendapatkan barang makanan.

“Selain itu, kebanyakan penduduk juga terpaksa akur dengan prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan kerajaan ketika ini.

“Saya bersyukur kerana keluarga kami antara yang menerima sumbangan ini,” katanya yang turut menjaga isterinya yang menghidap strok sejak tujuh tahun lalu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|