Dua beradik mengaku salah guna dokumen palsu dapatkan tender

Dua beradik mengaku salah guna dokumen palsu dapatkan tender

Kota Kinabalu: Dua beradik masing-masing didenda RM18,000 dan RM24,000 selepas mengaku bersalah menggunakan dokumen palsu untuk mendapatkan tender, di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu, hari ini.

Kedua-dua tertuduh, Sharifah Norhafizah Syed Abdul Hamid dan Syed Hairul Nizam, didakwa atas tiga pertuduhan membabitkan tender perkhidmatan membekal makanan ke asrama sekolah di Tawau.

Dua beradik terbabit membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Abu Bakar Manat.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh melakukan kesalahan itu pada 24 November 2016.

Mereka didakwa menggunakan penyata akaun bank bertarikh 31 Julai, 31 Ogos dan 30 September 2016 sebagai dokumen palsu bagi mendapatkan tender perkhidmatan membekal makanan bagi tempoh kontrak 1 April 2017 hingga 31 Mac 2019.

Kedua-dua mereka melakukan kesalahan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 Kanun.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM6,000 atau tiga bulan penjara jika gagal bayar bagi setiap satu pertuduhan kepada Sharifah Norhafizah.

Manakala, Syed Hairul Nizam turut dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM8,000 atau empat bulan penjara jika gagal bayar bagi setiap satu pertuduhan.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Nartiah F Mirchelle Sambatan manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam dari Tetuan Azhier Arisin & Jaafar.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|