Covid-19: Solat bersama kontak rapat cetus kluster komuniti di Telupid

Covid-19: Solat bersama kontak rapat cetus kluster komuniti di Telupid

Kota Kinabalu: Seorang lelaki dipercayai dijangkiti Covid-19 ketika menunaikan solat bersama seorang rakan disyaki kontak rapat kes positif sebelum mencetuskan kluster berkaitan komuniti di Telupid, hari ini.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata siasatan mendapati lelaki berumur 29 tahun yang menjadi kes indeks Kluster Gambaron Dua itu menunaikan solat bersama rakannya tiga hari berturut-turut di Masjid Pekan Telupid bermula 15 Julai lalu.

Katanya, rakan kes indeks menunaikan solat di masjid berkenaan, iaitu lelaki dari Tawau disyaki menjadi kontak kes positif Covid-19 di Ladang FGV Tanah Mas, Telupid.

“Kluster Gambaron Dua di Telupid ini adalah kluster komuniti yang dipercayai berjangkit dalam kalangan jemaah masjid seterusnya merebak kepada ahli
keluarga.

“Kes indeks adalah lelaki, 29, yang bergejala sejak 22 Julai lalu sebelum disahkan positif Covid-19 di Klinik Kesihatan Telupid pada 23 Julai 2021.

“Berdasarkan siasatan, kes indeks mendapat jangkitan daripada seorang rakannya iaitu lelaki dari Tawau yang disyaki menjadi kontak kes positif di Ladang FGV Tanah Mas, Telupid.

“Kes indeks bersama rakannya itu menunaikan solat di Masjid Pekan Telupid sepanjang tiga hari bermula 15 Julai 2021 di Kampung Gambaron Dua,” katanya dalam kenyataan media, malam ini.

Setakat hari ini, katanya seramai 95 individu disaring dan 53 daripadanya dikesan positif Covid-19 termasuk 41 kes baharu.

Sementara itu, Masidi berkata satu lagi kluster Covid-19 hari ini, iaitu Kluster Jalan Corak di Tongod dikaitkan dengan gejala demam sekumpulan penduduk selepas menerima vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Telupid pada 24 Julai lalu.

Katanya, kluster itu yang mencatat 12 kes kumulatif setakat ini dikesan selepas kes indeks iaitu seorang suri rumah berumur 30 tahun yang bergejala demam, batuk dan selesma disahkan postif Covid-19 di Pejabat Kesihatan Daerah Tongod pada 26 Julai lalu.

“Siasatan awal mendapati, kes indeks bersama 14 rakannya mula mengalami gejala serupa sejak menerima vaksin di PPV Telupid pada 24 Julai lalu. Sebahagian mereka masih menuggu keputusan ujian RT-PCR.

“Saringan kontak juga mengesan sembilan lagi kes positif Covid-19 di sekitar kediaman kes indeks. Setakat hari ini, aktiviti saringan, persampelan Covid-19 dan disinfeksi masih diteruskan pasukan siasatan untuk menilai sebarang jangkitan dan risiko kemungkinan jangkitan lebih meluas kepada penduduk kampung berdekatan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|