Covid-19 Sabah: Warga emas cetus Kluster Rapak di Ranau

Covid-19 Sabah: Warga emas cetus Kluster Rapak di Ranau

Kota Kinabalu: Seorang wanita warga emas berumur 81 tahun mencetuskan kluster baharu Covid-19 berkaitan komuniti yang dilaporkan di daerah Ranau, hari ini.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata Kluster Rapak itu dipercayai berpunca daripada aktiviti perkumpulan individu di gerai sewa berdekatan simpang masuk Kampung Rapak.

Katanya, kes indeks adalah pemilik bangunan gerai sewa di simpang terbabit yang sering datang melawat sebelum mula bergejala batuk, selesema dan sakit dada sejak 22 Ogos lalu.

“Kes indeks kemudiannya disahkan positif Covid-19 melalui Ujian RTK-AG di sebuah klinik swasta pada 23 Ogos lalu dan berada di rumah sahaja sebelum mendapatkan rawatan pada hari seterusnya.

“Beberapa siri saringan kontak rapat dijalankan pada 31 Ogos hingga 4 September lalu berjaya mengesan sebanyak 21 kes, sebelum saringan kontak rapat diteruskan semalam dan mengesan 20 lagi kes positif.

“Ia menjadikan jumlah kumulatif kes positif setakat ini sebanyak 42 kes termasuk lima kes baharu yang dilaporkan pada hari ini.

“Penularan wabak disyaki berpunca daripada aktiviti melibatkan perkumpulan individu di gerai sewa simpang masuk Kampung Rapak,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Sementara itu, Sabah kembali mencatat peningkatan kes baharu Covid-19 kepada 2,298 kes hari ini berbanding 2,067 kes yang dilaporkan semalam.

Bagaimanapun, kes kematian menurun kepasa 22 kes hari ini berbanding 54 kes yang dilaporkan semalam.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata masing-masing tiga kes kematian dicatat di Sandakan, Lahad Datu, Tawau dan Kudat, diikuti masing-masing dua kes di Penampang, Semporna, Keningau dan Kota Kinabalu, manakala Tenom dan Ranau masing-masing mencatatkan satu kes.

“Bilangan pesakit Covid-19 yang sembuh hari ini pula seramai 3,154 orang iaitu termasuk yang discaj dari hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC)).

“Seramai 4,995 pesakit pula sedang menerima rawatan iaitu 1,729 orang di hospital, manakala seramai 3,188 orang di PKRC Awam, 72 orang di Pusat Tahanan Sementara dan Penjara, manakala enam orang di fasiliti swasta.

“Bilangan pesakit yang memerlukan penjagaan kritikal pula ialah 184 orang merangkumi 129 di Unit Rawatan Rapi (ICU) atau ‘repurposed critikal care’, seramai 55 pesakit di wad terbuka dan 82 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|