Kota Kinabalu: Pesakit Covid-19 dalam kategori tiga, empat dan lima yang memerlukan rawatan rapi di hospital semakin berkurangan sejajar peningkatan kadar vaksinasi di Sabah.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata hari ini hanya lima kes pesakit dalam kategori tiga, manakala masing-masing empat kes dalam kategori empat dan lima.
Katanya, bagi pesakit kategori satu pula, seramai 165 orang atau 18.9 peratus daripada keseluruhan kes harian Covid-19 dilaporkan pada hari ini.
“Bagi pesakit kategori dua, seramai 642 orang atau 73.6 peratus dilaporkan pada hari ini, manakala 52 kes lagi masih dalam siasatan lanjut,” katanya.
Secara keseluruhan, Sabah hari ini mencatat 872 kes, berkurang sebanyak 121 kes berbanding 993 kes yang dilaporkan semalam.
Masidi yang juga jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, berkata penurunan kes pesakit kategori tiga hingga lima sejajar dengan pertambahan peratusan penduduk yang sudah lengkap divaksin.
“Walaupun mereka yang telah divaksin masih boleh dijangkiti virus Covid-19 tetapi secara keseluruhannya mereka tidak akan mengalami gejala serius yang lazim berlaku ke atas kebanyakan pesakit yang belum menerima vaksin,” katanya.
Jelas Masidi, jumlah kes tertunggak juga berkurangan secara signifikan hari ini dengan hanya dua kes lewat didaftar melebihi lima hari, manakala 30 kes lewat didaftar antara empat hingga lima hari dan 343 kes lewat didaftar antara dua hingga tiga hari.
Hari ini, hanya daerah Kota Kinabalu mencatat kes tiga angka iaitu 107 kes, manakala 22 daerah mencatat kes dua angka bermula dari 11 kes (Semporna) hingga 83 kes (Lahad Datu).
Empat daerah pula mencatat kes satu angka iaitu Tambunan (tujuh), Kalabakan (lima), Kuala Penyu (empat) dan Kunak (tiga).
-Deasoka