Boleh rentas ke semua daerah mulai esok, rentas negeri mulai 1 November

Boleh rentas ke semua daerah mulai esok, rentas negeri mulai 1 November

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri bersetuju untuk membenarkan rentas daerah di seluruh negeri bermula esok, manakala rentas negeri bermula 1 November depan.

Dalam kenyataan petang ini, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata bagi rentas daerah, kebenaran itu tertakluk kepada syarat semua individu sudah lengkap divaksin.

Bagaimanapun, katanya remaja berumur 12 hingga 18 tahun yang sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin dan kanak-kanak di bawah 12 tahun yang ditemani ibu bapa sudah lengkap divaksin juga dibenarkan merentas daerah.

“Kerajaan negeri Sabah berpuas hati dengan laporan peratus vaksinasi lengkap negeri Sabah setakat 11 Oktober 2021 oleh Jawatankuasa Covid-19 Immunisation Task Force (CITF) telah mencapai melebihi 70 peratus.

“Selaras dengan itu, kerajaan negeri pada hari ini bersetuju supaya rentas daerah dibenarkan di seluruh negeri mulai 14 Oktober 2021 dengan syarat individu telah lengkap divaksin, remaja berumur 12 hingga 18 tahun yang sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin dan kanak-Kanak di bawah 12 tahun ditemani oleh ibu bapa yang telah lengkap divaksin,” katanya.

Bagi kebenaran rentas negeri mulai 1 November depan, katanya kemasukan ke Sabah meliputi lawatan sosial dan pelancongan adalah dibenarkan dengan mematuhi syarat yang ditetapkan.

Katanya, selain sudah lengkap divaksin, mereka yang merentas negeri ke Sabah masih diperlukan menjalani ujian Covid-19 RT-PCR atau RTK-Ag (Swab/Saliva) dalam tempoh tiga hari sebelum perjalanan.

Tambahnya, remaja berumur 12 hingga 18 tahun yang sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin dan kanak-kanak di bawah 12 tahun ditemani oleh ibu bapa yang sudah lengkap divaksin juga dibenarkan merentas negeri ke Sabah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|