Bergelut dengan polis, dua pengedar ditahan

Bergelut dengan polis, dua pengedar ditahan

Beaufort: Tindakan dua pengedar dadah yang nekad bergelut dengan polis untuk melepaskan diri gagal apabila kedua-duanya berjaya ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Brunei, Membakut, di sini, semalam.

Dua suspek warga tempatan berusia 23 dan 33 tahun itu ditahan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort, kira-kira pada jam 9 pagi.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, operasi Op Tapis membabitkan seorang pegawai bersama tiga anggota dijalankan terhadap sebuah rumah tidak bernombor di kampung berkenaan.

Katanya, sebaik sampai dirumah berkenaan, lima individu tiba-tiba terjun daripada tingkap dapur dan terus cuba melarikan diri.

“Bagaimanapun, hanya dua suspek berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan antara kumpulan suspek dan pasukan polis.

“Pemeriksaan fizikal terhadap salah seorang suspek membawa kepada penemuan satu paket besar plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis Syabu dengan anggaran berat 12.36 gram,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Yusoff Zaki berkata, pemeriksaan lanjut yang dibuat di rumah berkenaan turut menemui beberapa peralatan disyaki untuk digunakan membungkus dadah.

Katanya, kedua-dua suspek dan dadah yang dirampas dibawa ke IPD Beaufort untuk tindakan lanjut.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methapetamine dan mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah.

“Usaha mengesan tiga lagi suspek akan giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

– Deasoka


 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|