Bawang punya pasal, lelaki pukul jiran dengan batang besi

Bawang punya pasal, lelaki pukul jiran dengan batang besi

Beaufort: Seorang lelaki cedera selepas dipukul jirannya yang menuduhnya mencuri bawang dalam kejadian di Kampung Pansung, Rancangan Klias, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari, mangsa berusia 38 tahun dikatakan sedang tidur di dalam bilik rumahnnya sebelum didatangi suspek yang juga jiran mangsa.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, suspek berusia lingkungan 30 tahun kemudian terus memukul mangsa menggunakan batang besi hingga menyebabkan tangan kirinya terluka dan lebam.

Mangsa menunjukkan lokasi kejadian dia dipukul di bilik tidur rumahnya.

“Selepas dipukul, mangsa terus berdiri dan menghalang suspek daripada terus memukul dengan memeluknya.

“Selepas keadaan terkawal, mangsa bertanya kepada suspek sebab menyerangnya. Suspek telah menuduh mangsa mencuri bawang di dalam rumahnya yang berjiran dengan mangsa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Yusoff berkata, selepas kejadian itu, suspek terus melarikan diri manakala mangsa kemudian membuat laporan polis.

Katanya, bertindak atas laporan itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort menjalankan siasatan dan memberkas suspek.

Menurut beliau lagi, suspek juga difahamkan positif dadah jenis syabu selepas ujian air kencing dijalankan terhadapnya.

“Suspek ditahan jam 11 malam tadi di Kampung Melabau Pangsong, Beaufort. Polis turut merampas batang besi yang digunakan oleh suspsk ketika kejadian.

“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan dengan menggunakan senjata atau lain-lain benda yang berbahaya,” katanya.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|