Labuan: Seorang anggota bomba cedera ketika memadamkan kebakaran membabitkan sebuah bangunan pejabat Shipyard di Labuan Shipyard, Jalan Rancha-Rancha, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.45 malam itu, mangsa berusia 27 tahun yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Labuan cedera di tangan kanan ketika terlibat dalam operasi memadamkan kebakaran berkenaan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada jam 7.30 malam.
“Sebaik tiba, memang berlaku kebakaran melibatkan sebuah bangunan pejabat yang sudah terbakar 50 peratus.
“Operasi memadamkan kebakaran segera dilakukan bagaimanapun seorang anggota bomba cedera di bahagian tangan akibat terkena kaca ketika dalam operasi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya lagi, mangsa kemudian dihantar ke hospital menggunakan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) untuk tindakan lanjut.
“Kecederaan mangsa hanya di tangan kanan dan sudah menerima rawatan di hospital.
“Operasi memadamkan kebakaran diteruskan dan berjaya ditamatkan pada jam 10.17 malam,” katanya.
Terdahulu, seramai 57 pegawai dan anggota terlibat dalam operasi ini iaitu terdiri daripada Ibu Pejabat JBPM Labuan, BBP Labuan, BBP Jawa dan BBP Rancha-Rancha.
-Deasoka