Labuan: Seramai 16 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Labuan menerima sumbangan bakul makanan dan wang tunai menerusi program Ziarah Kasih Perwira Negara, baru-baru ini.
Program bersempena Hari Warga Emas Sedunia yang disambut setiap 1 Oktober itu adalah inisiatif warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mutiara, Labuan dengan kerjasama Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Wilayah Persekutuan Labuan.
Turut sama menjayakan program itu ialah Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Mutiara, Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan Labuan, Majlis Penasihat Perbadanan Labuan dan Persatuan Anak Muda Labuan (PAMULA).
Pengetua SMK Mutiara, Yahya Ahmad Puteh, berkata ia adalah program tahunan SMK Mutiara sejak tahun lalu bagi menyantuni warga emas dalam kalangan veteran ATM yang menderita akibat sakit dan terkesan dengan pandemik Covid-19.
Seorang veteran ATM yang uzur menerima kunjungan konvoi Ziarah Kasih Perwira Negara.
Katanya, pihak sekolah mengumpul dana dalam kalangan warganya dan orang perseorangan untuk menyediakan bakul makanan serta wang tunai untuk disumbangkan kepada veteran ATM di sekitar Labuan.
“PVATM turut menyumbang bakul makanan sebagai tambahan kepada bakul makanan yang diusahakan pihak sekolah,” katanya, di sini.
Pengetua SMK Mutiara, Labuan, Yahya Ahmad Puteh (kanan) menyerahkan sumbangan wang tunai untuk Tabung Pahlawan kepada pemangku Ketua Cawangan PVATM Labuan, Bolkiah Aziz.
Penyerahan sumbangan kepada semua veteran ATM turut disertai pemangku Yang Dipertua PIBG SMK Mutiara, Norhani Jaafar; pemangku Ketua Cawangan PVATM Labuan, Bolkiah Aziz; Setiausaha PVATM Labuan, Nazri Panjang Abdullah; Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat Perbadanan Labuan, Hamir Zahari; Timbalan Setiausaha PAMULA, Abdul Hafiez Sulaiman dan Penolong Kanan SMK Mutiara selaku penyelaras program, Hisham Abdul Aziz.
Yahya turut berkongsi rasa syukur dan bangga kerana SMK Mutiara baru sahaja menerima anugerah Pengurusan Penglibatan Ibu Bapa dan Komuniti / Swasta (PIBKS) Cemerlang 2020-2021 dan beliau sendiri turut dinobatkan selaku Tokoh Pengetua Inspirasi PIBKS 2020-2021.
Program Ziarah Kasih Perwira Negara berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan.
“Momentum kejayaan berganda yang masih segar ini diteruskan dengan program kemasyarakatan yang bermakna dan berimpak tinggi dan kita mahu program ini diteruskan di masa hadapan dengan pembabitan lebih banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan,” katanya.
Sementara itu, seorang veteran ATM, Tan Kim Teck yang menetap di Jalan Arsat, Kampung Batu Arang, di sini menzahirkan rasa syukur dan terima kasih kerana masih ada golongan yang sudi menziarahi dan menghulur bantuan kepada warga emas seperti beliau.
Kim Teck yang menderita sakit kaki dan tidak mampu berdiri lama atau berjalan jauh turut berkongsi pengalaman pahit manis beliau ketika berkhidmat dalam ATM.
Katanya, beliau pernah mengikuti satu ‘eksesais’ dengan berjalan kaki dari Menumbok ke Beaufort dan seterusnya ke Kem Lok Kawi di Putatan sebelum berakhir di Kota Belud, Sabah untuk menyertai latihan menembak.
Beliau menjelaskan pernah menyesal malah berbangga kerana berpeluang menyarung pakaian seragam tentera dan mencurahkan khidmat bakti kepada negara.
-Deasoka