100 penuntut pengajian tinggi terima sumbangan

100 penuntut pengajian tinggi terima sumbangan

Keningau: Seramai 100 pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi awam dan swasta di kawasan Parlimen Pensiangan menerima sumbangan pendidikan.

Ahli Parlimen Pensiangan, Arthur Joseph Kurup, berkata, sumbangan yang disampaikan itu adalah program tahunan yang diadakan sejak 11 tahun yang lalu.

Katanya, sepanjang tempoh ini, pelbagai pendekatan dilaksanakan termasuk bantuan dari segi yuran pengajian, biasiswa pendidikan, bantuan pakaian serta peralatan sekolah dan sebagainya.

“Program sebegini akan diteruskan pada setiap tahun sebagai motivasi kepada pelajar untuk mereka terus berusaha.

“Saya mengambil tanggungjawab untuk menyediakan yang terbaik demi masa depan anak-anak Pensiangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyampaian sumbangan pelajaran kepada pelajar cemerlang Parlimen Pensiangan, hari ini.

Selain itu Arthur berkata, bagi mengatasi masalah capaian internet di kawasan Parlimen Pensiangan, sebanyak 46 menara telekomunikasi yang baharu sedang dalam pembinaan dan dijangka siap pada penghujung tahun 2022.

Katanya, apabila menara ini siap kelak, semua penduduk akan dapat menikmati rangkaian telekomunikasi yang lebih baik serta akses kepada capaian internet yang lebih pantas.

Arthur yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya turut menjelaskan, kerja-kerja menaik taraf jalan Sapulut ke pekan Pagalungan secara berperingkat sehingga ke pekan Pagalungan sudah mula dilaksanakan.

Katanya, ia dijangka akan mengambil masa selama tiga tahun untuk disiapkan sepenuhnya.

“Dengan kerja-kerja menaik taraf jalan ini, jarak perjalanan dari Sapulut ke Pekan Pagalungan akan dapat disingkatkan dari 3 jam kepada 1 jam.

“Pastinya ia akan memberikan kegembiraan kepada ibu bapa dan guru kerana usaha ini pasti akan memudahkan urusan persekolahan anak-anak selepas ini.

“Disamping itu, saya juga sedang dalam usaha untuk menaik taraf beberapa buah sekolah daif di kawasan Parlimen Pensiangan antaranya ialah SK Pekan Nabawan, SK Pekan Pensiangan, SK Sepulot, SK Ponontomon dan banyak lagi yang tidak dapat untuk saya nyatakan satu persatu,” katanya.

Arthur berkata, ini bagi memastikan para pelajar serta guru mendapat kemudahan dan fasiliti yang lebih selesa.

“Tugas dan tanggungjawab kita adalah untuk menyediakan yang terbaik agar generasi yang cemerlang dapat dilahirkan demi pembinaan sebuah budaya bangsa.

“Kecemerlangan yang dikecapi hari ini pastinya akan membuahkan hasil untuk membawa perubahan terhadap ekonomi dan sosial masyarakat kita,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|