1.31 juta penduduk Sabah sudah lengkap vaksin

1.31 juta penduduk Sabah sudah lengkap vaksin

Kota Kinabalu: Seramai 1.31 juta atau 47.59 peratus daripada 2.75 juta penduduk dewasa Sabah sudah melengkapkan vaksin Covid-19 setakat kelmarin.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata seramai 1.79 juta orang atau 64.94 peratus daripada penduduk dewasa pula sudah menerima satu dos vaksin.

“Setakat 6 September 2021, berdasarkan statistik Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (CITF) Sabah, seramai 1,312,824 atau 47.59 peratus penduduk dewasa Sabah sudah memperolehi vaksin lengkap.

“Sementara itu, seramai 1,791,183 atau 64.94 penduduk sudah memperolehi satu dos vaksin. Statistik ini mengambil kira jumlah penduduk dewasa layak divaksin di Sabah seramai 2,758,400 orang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Masidi berkata Sabah hari ini mencatat sedikit penurunan kes baharu Covid-19 iaitu kepada 2,067 berbanding 2,107, semalam.

Katanya, daerah Kota Kinabalu mencatatkan peningkatan 65 kes kepada 347 kes hari ini setelah mencatatkan penurunan semalam, diikuti Tuaran (163) dan Kudat (78).

“Bagainanapun, kes di kawasan perbandaran lain seperti Sandakan, Penampang dan Keningau mencatatkan penurunan.

“Daerah lain juga mencatat penurunan kes kecuali Kota Belud (+32), Kinabatangan (+20), Tongod (+57), Pitas (+15), Beluran (+6), Kunak (+3), Semporna (+1) dan Kuala Penyu (+4),” katanya.

Masidi berkata, daripada 2,067 kes hari ini, sebanyak 722 kes atau 34.93 peratus lewat didaftar antara dua hingga tiga hari selepas tarikh keluar keputusan, sebanyak 94 kes (4.55 peratus) lewat didaftar antara empat hingga lima hari dan 122 kes atau 5.85 peratus atau lewat didaftar melebihi lima hari.

“Saringan kontak rapat kekal penyumbang utama kepada kes harian dengan 1,086 kes atau 52.4 peratus daripada 2,067 kes hari ini, sebanyak 640 kes atau 31.3 peratus melalui saringan bergejala iaitu peratusan yang rendah berbanding semalam dan 152 kes atau 7.5 peratus melalui saringan kluster.

“Di Kota Kinabalu, 31.7 peratus daripada kes hari ini berpunca daripada saringan bergejala, Sandakan (22.9 peratus), Tawau (56.1 peratus) dan Penampang (46.2 peratus),” katanya.

Beliau berkata, daripada 2,067 kes yang dicatat hari ini, sebanyak 642 kes atau 31.06 peratus adalah dalam Kategori 1, manakala 1,355 kes atau 65.55 peratus dalam Kategori 2, sembilan kes dalam Kategori 3, enam kes dalam Kategori 4 dan empat kes dalam Kategori 5.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|